Kolaborasi Sumandak Sabah Marsaha, Velvet MENJADI
KETIKA lapangan muzik tempatan dilanda ‘tsunami’ balada yang sekali gus mengembalikan semula kegemilangan genre era 1980-an dan 1990-an, dua bintang daripada program realiti Akademi Fantasia(AF) itu mempertaruhkan karya berbeza.
Lebih menjurus ke nuansa muzik kerakyatan, lagu baharu berjudul Sumandak Sabah menggabungkan dua penyanyi yang telah lebih sedekad bersahabat baik. Lebih istimewa mereka berdua juga berasal dari Sabah.
Seharusnya direalisasikan beberapa tahun sebelum ini, namun tertunda akibat kesibukan jadual kerjaya, bagaimanapun sekarang, kolaborasi antara Marsha Milan dan Velvet Aduk telah berjaya menjadi realiti.
Kolaborasi
“Sejujurnya kami telah lama merancang untuk bekerjasama tetapi disebabkan ketika itu kedua-duanya masih baharu dalam industri dan kurang pengalaman, hasrat terpaksa ditunda.
“Syukur, setelah lebih 10 tahun kami mengenali antara satu sama lain, harapan untuk bekerjasama akhirnya terlaksana sehingga terlahirnya lagu Sumandak Sabah,” terang Marsha memulakan bicara.
Mengakui penerimaan terhadap lagu bercorak kerakyatan berdepan kesukaran untuk diterima khalayak, namun mereka bukan selebriti pertama yang mempertaruhkan gaya muzik sebegitu.
Melihat kepada penerimaan lagu Itik Gembo-Gembo dendangan kumpulan A to Z sekitar tahun 1997, karya tersebut nyata berjaya mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Kejayaan tersebut lantas menjadi pendorong buat Marsha untuk berhasrat lagu Sumandak Sabah dijadikan sebagai penyeri pertandingan ratu cantik atau Ratu Unduk Ngadau sempena perayaan Pesta Kaamatan Sabah.
Dalam nada teruja pemilik nama lengkap Marsha Milan Londoh itu berharap lagu tersebut berjaya diangkat menjadi lagu rasmi acara berkenaan pada setiap kali sambutan.
Seperti yang diraih lagu 31 Ogos nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman, Marsha menaruh harapan agar single duet dengan Velvet itu turut sama memperoleh impak yang sama.
“Syukur usaha kami diterima dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat. Pada masa sama, saya mengharapkan single baharu ini mampu diberi peluang menjadi lagu rasmi acara tersebut,” tutur wanita berusia 33 tahun itu.
Selain menjadikan ia simbolik pada sambutan perayaan Pesta Kaamatan Sabah, usaha mereka itu juga secara tidak langsung mengangkat martabat kaum wanita lantas mempamerkan kepelbagaian golongan etnik Negeri Di Bawah Bayu itu.
Sebelum meletakkan harapan tinggi terhadap lagu Sumandak Sabah, Marsha mahupun Velvet mengakui mereka sanggup berdepan risiko terhadap penerimaan khalayak.
Risiko
Velvet atau nama lengkapnya, Velvet Lawrence Aduk berkata, dia sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan sementelah lagu berbentuk kerakyatan tidak banyak dihasilkan berbanding karya komersial lain.
“Bukan sekadar sambutan tetapi penerimaan khalayak turut mencetuskan gusar di hati terutama batas bahasa iaitu dialek Sabah yang mungkin membuatkan pendengar dari negeri lain kurang memahami isi kandungan lagu.
“Sewaktu menghasilkan lagu ini, kami berdua telah bersedia dengan sebarang kemungkinan terutama melibatkan penerimaan peminat. Bagaimanapun, kami berusaha memberi sentuhan universal agar ia mudah diterima dan difahami.
“Bahkan, pada peringkat awal lagu ini diperkenalkan kepada pendengar, kami kongsikan beberapa perkataan dalam dialek Sabah berserta maksud. Cara tersebut secara tidak langsung membantu pendengar untuk memahami penceritaan dalam lagu,” kata Velvet tersenyum.
Tidak lekang mengukir senyuman, ibu kepada empat cahaya mata itu turut bersedia sekiranya lagu tersebut tidak dimainkan di corong radio, sementelah dia juga salah seorang penyampai radio di stesen Kupi-Kupi FM.
Hampir tiga tahun bertugas di konti sebagai penyampai radio, Velvet enggan menjadikan komitmen tersebut sebagai halangan daripada meneruskan minat menyanyi.
Tetap mahu memberi fokus dalam bidang seni, isteri kepada vokalis kumpulan Estranged, Richael Lawrence Gimbang atau lebih dikenali sebagai Rich itu mengakui, masih mempunyai cinta terhadap karier nyanyian.
“Meskipun tampil dengan single duet, bukan bermaksud saya mengetepikan kerjaya solo. Fokus nyanyian itu tetap sama tidak mengira sama ada kolaborasi mahupun solo,” ujarnya.
Selesa
Bukan sahaja Velvet, Marsha turut mengakui akan memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian terutama melibatkan aktiviti solo.
Meskipun begitu, Marsha tidak menolak untuk melanjutkan kerjasama dengan Velvet bagi menerusi kolaborasi kedua mereka dalam tempoh terdekat.
“Bagi kolaborasi ini merupakan usaha mahupun tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat setelah lebih 10 tahun bergelar anak seni.
“Selain berusaha mengumpul material untuk lagu duet kedua bersama Velvet, saya turut akan muncul dengan lagu solo. Namun, segalanya masih dalam peringkat perbincangan,” kata Marsha lembut.
Selain bercerita mengenai kerjaya, Marsha tidak menafikan hubungan akrab antara dirinya dengan Velvet menjadikan mereka mudah untuk saling bekerjasama.
Saling mengenali selepas program AF, Marsha yang merupakan peserta musim ketiga (2005), manakala Velvet musim keempat (2006) tidak pernah membataskan persahabatan mereka.
Ujar Marsha, persahabatan mereka bermula kerana sering terlibat menjayakan aktiviti seni bersama peserta AF.
“Tidak dinafikan ramai peserta AF lain yang turut mempunyai latar belakang dari Sabah tetapi saya membuat keputusan untuk bersama Velvet.
“Bukan itu sahaja, dia juga merupakan sahabat baik saya, jadi lebih mudah sekiranya dapat bekerja dengan individu yang satu kepala (saling memahami),” terang pelantun lagu Tak Perlu Selamanya itu.
Famili
Beberapa kali melontarkan pandangan ke arah Marsha yang duduk bersebelahan dengannya, Velvet turut berkongsi tentang kebahagiaan berumah tangga bersama Rich sejak tahun 2008.
Daripada riak wajah, jelas menggambarkan Velvet kini bahagia bersama suami dan empat anak mereka, Joshia, 9, Caroline, 7, Kianu, 4, dan Denika, 1.
Mampu membahagikan masa antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu, wanita berusia 31 tahun itu syukur kedua-dua perkara tersebut bergerak seiring.
“Saya bersyukur apabila keluarga banyak memberi sokongan untuk terus aktif dalam bidang nyanyian terutama suami. Rich banyak membantu terutama dalam proses menghasilkan lagu Sumandak Sabah.
“Lagu tersebut dihasilkan olehnya, manakala lirik ditulis oleh saya dan Marsha. Meskipun cita rasa muzik antara saya dan Rich berbeza tetapi dia seorang yang amat memahami.
“Saya dan Marsha memberi idea konsep mengenai lagu kami dan dia menghasilkannya dengan baik. Biarpun terdapat sentuhan muzik Estranged tetapi ia tetap menarik,” jelas Velvet optimis.
Pada masa sama, Velvet dan Marsha kini sedang menghasilkan single kedua berentak balada yang mempamerkan kekuatan vokal mereka.
Memberi tempoh sekitar tiga bulan sebelum bersedia dengan hasil buah tangan kedua, Marsha dan Velvet terlebih dahulu ingin memberi fokus kepada lagu Sumandak Sabah agar membuahkan impak terbaik.
Muncul dengan single duet berjudul Sumandak Sabah, Marsha dan Velvet menaruh harapan agar lagu bercorak kerakyatan tersebut
mampu diangkat menjadi
lagu rasmi setiap kali berlangsungnya pertandingan mencari Ratu Unduk Ngadau sempena perayaan Pesta Kaamatan Sabah.

No comments:
Post a Comment